Patutkah Kita Menyepi Diri Kalau Bahagian Harta Pusaka Tak Berbaloi?
Abdul Razak (bukan nama sebenar) meluncur laju memandu kenderaannya meredah keheningan pagi. Bersebelahan dengannya adalah Hashimah (bukan nama sebenar), isteri yang tersayang yang menemani beliau sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur ke sebuah negeri di Utara.
Tujuan perjalanan mereka adalah untuk menerima jemputan Pejabat Pesaka Kecil dalam menyelesaikan harta pusaka pakcik beliau iaitu Pak Saad yang telah lama tidak diurus dan baru hanya kali ini sejak 12 tahun yang lalu urusan harta pusaka itu dapat diselesaikan. Hubungan Beliau dan Pak Saad seperti hubungan ayah dan anak. Sepanjang hubungan, mereka berdua begitu mesra sekali dan Pak Saad banyak membantu Abdul Razak dalam memajukan perniagaannya. Kehilangan Pak Saad begitu terasa buat Abdul Razak. Dia antara pakcik saudara yang selalu memberikan sokongan dan semangat ketika diperlukan.
Inilah kali kedua beliau turun ke utara atas urusan peribadi. Sebelum ini beliau ke sana atas urusan graduasi anak perempuannya di sebuah universiti awam iaitu kira-kira 10 tahun yang lalu. Sepanjang perjalanan tersebut, beliau menunjukkan tanda sedikit keresahan.
Pak Saad semasa hayatnya berkahwin dua kali. Isteri pertama bernama Saodah, mati dahulu. Isteri kedua bernama Maimunah, bercerai mati. Perkahwinan dengan isteri pertama mendapat lima orang anak, 4 lelaki dan 1 perempuan. Manakala dengan isteri kedua pula mendapat 4 orang anak, 3 lelaki dan 1 perempuan. Ini bermakna pada masa kematiannya Saad meninggalkan seorang isteri dan 9 orang anak, 7 lelaki dan 2 perempuan. Harta peninggalan ialah hanyalah sebidang tanah bendang bernilai RM10,000.00.
Malangnya Harta pusaka peninggalan arwah Pak Saad tidak dibahagikan kepada waris waris sehingglah pada tahun 1992, anak sulung kepada Pak Saad pula meninggal dunia iaitu, Rokiah. Rokiah meninggalkan ibu, suami dan 6 orang anak, 3 lelaki dan 3 perempuan. Harta itu masih dibiarkan terbengkalai sehinggalah pada tahun 2005. Malangnya anak kedua kepada Rokiah yang perempuan bernama Shamsiah pula meninggal dunia. Rokiah meninggalkan bapa, nenek sebelah ibu, suami dan seorang anak lelaki tunggal bernama Abdul Wahab.
Dalam perbicaraan pusaka pakciknya itu dia dimaklumkan semua waris akan hadir. Perasaan bimbang dan resah bercampur baur dalam hatinya. Kenderaan yang dipandunya telah sampai ke Pejabat Pusaka Kecil (di rahsiakan) pada jam 9.30 pagi. Beliau disambut oleh seorang lelaki yang mengelarkan dirinya Zaini.
Setelah menyapa dan bertanya khabar mereka bertiga terus masuk ke dalam khamar perbicaraan. Kelihatan beberapa waris pak saad menunggu disuatu sudut yang telah disediakan. Proses dimulakan dengan mendapatkan maklumat si mati. Nama si mati, tarikh kematian, sebab kematian dan tempat dikebumikan, bukti kematian ialah Sijil Kematian. Selesai maklumat si mati, bermulalah siasatan waris untuk mengetahui kedudukan waris yang ditinggalkan oleh si mati. Siasatan waris untuk menentukan siapa dalam kalangan waris yang berhak mewarisi pusaka. Kes dikategorikan sebagai kes “Munasakhat”, iaitu kematian berlapis - 3 lapis. Lapis pertama: si mati asal dan tuan punya harta iaitu Saad. Lapis kedua: si mati kedua iaitu Rokiah (anak Saad). Lapis ketiga: si mati ketiga iaitu Shamsiah (cucu Saad). Satu lapis bukanlah satu keturunan tapi satu lapis bermakna satu kematian. 3 lapis bermakna 3 kematian dan ini melibatkan 3 kali pengiraan faraid.
Ketika perbicaraan berlangsung, Setiap waris diberitahu berapakah bahagian yang mereka layak terima dari harta peninggalan arwah Pak Saad. Sehingga giliran Abdul Razak bahagian beliau telah diistiharkan dan beliau hanya mendapat sebanyak RM2.95 sahaja dari RM10,000.00.
Isterinya agak terkejut dengan pemberitahuan itu. Tiada senyuman. Hanya pahit yang mengukir wajah isterinya. Hashimah mendesak Abdul Razak untuk meminta agar perbicaraan dan pembahagian dilakukan semula kerana pendapatnya mungkin hakim silap membuat kiraan.
Razak memahami kehendak Hashimah. Beliau memandang dan dengan tenang menberitahu isterinya, “sebenarnya abang dah jangka bahagian yang abang terima ni tidaklah seberapa, tetapi abang hadir hari ini dengan dua harapan.”
“Pertama: abang berhajat untuk berjumpa dengan sanak saudara abang yang selama ini sebahagiannya abang tidak kenal. Alahamdulillah, hari ini baru abang dapat kenal mereka dan menghubungkan silaturrahim.”
“Kedua, abang rasa kalau abang tidak hadir, kes ini mungkin tidak akan selesai, sama ada lambat atau tidak akan selesai bila-bila. Abang akan rasa berdosa. Jadi hadirnya abang atas tanggungjawab yang perlu dilunaskan agar agihan ini dapat diberikan kepada waris yang sangat memerlukan.”
Hashimah memahami apa yang ada suaminya ingin sampaikan. Abdul Razak meminta kebenaran untuk mengambil gambar video ketika perbicaraan sedang berlangsung. Sebagai kenangan hari yang bersejarah baginya. Encik Zaini , pegawai yang berada di kamar itu memberi kebenaran. Diakhirnya perbicaraan Tanah bendang itu dijual kepada penyewa dengan harga RM10,000. Selesai pembahagian di pejabat, anak sulung si mati yang juga menjadi pemohon menjemput semua waris yang hadir itu ke rumahnya untuk makan tengahari. Razak mula mengenali mereka dengan lebih dekat. Terpancar satu perasaan gembira bercampur sebak atas hubungan persaudaraan itu. Sesuatu perasaan yang tiada nilai baginya.
Kesimpulan dari kisah benar ini ialah walaupun tidak berbaloi dengan bahagian diterima, bahkan bayaran tol dan minyak kenderaan jauh lebih tinggi, Abdul Razak tetap hadir demi untuk membantu menyelesaikan harta pusaka pakciknya yang selama ini tidak difaraidkan. Ini menggambarkan wujud kesepakatan dan kesatuan dalam kalangan ahli keluarga beliau. Bukan masalah habuan yang bakal diperolehi daripada harta pusaka, tetapi tanggungjawab menyelesaikan pusaka itu lebih diutamakan.
Comments
Post a Comment